SATU mata yang dikutip dari gelanggang lawan tetap dianggap berharga. Justeru, ketua jurulatih Perak, Norizan Bakar tidak mahu mengomel banyak berikutan keputusan seri 0-0 anak buahnya dengan Kedah pada saingan Liga Super di Stadium Darulaman, Selasa lalu.
“Satu matapun jadilah. Asalkan tidak kalah tak mengapa. Saya tidak mahu mengulas perlawanan itu lagi. Yang berlalu biarkanlah berlalu.
“Yang pasti, pemain Perak perlu bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki kepincangan masih wujud. Masih banyak ruang untuk perubahan. Pemain perlu bekerja ke arah itu,” katanya.
Selepas empat perlawanan, pasukan Kejor Yob Kejor masih berupaya mempertahankan rekod tanpa kalah untuk menduduki tangga kedua liga di belakang Kelantan dengan lapan mata. Perlawanan liga seterusnya ialah bertemu Pahang di Kuantan pada 22 Februari.
Apapun, Norizan atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jan kini mahu anak buahnya menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan terdekat mereka iaitu bertemu Polis dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam esok.
“Lupakan dulu mengenai liga. Lebih penting ketika ini ialah mengharungi kempen Piala FA yang bermula Sabtu ini,” katanya.
Jurulatih berpengalaman itu menolak tanggapan anak buahnya tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk melepasi pencabar dari Liga Perdana itu.
“Jangan pandang rendah kemampuan lawan. Bagi saya, setiap pencabar Liga M ini mempunyai kelebihan masing-masing.
“Pemain Perak mengundang masalah jika turun dalam keadaan tidak bersedia secukupnya.” Beberapa pemain Perak cedera ketika menentang Kedah dan Norizan akan meneliti laporan perubatan pemain terbabit.
“Saya tidak tahu tahap kecederaan mereka. Masih ada masa untuk meninjau perkara itu sebelum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama,” katanya tanpa mendedahkan identiti pemain yang tercedera itu.
No comments:
Post a Comment