Wednesday, February 16, 2011

Kelantan kekal pendahulu liga

DUA jaringan Mohd Ramzul Zahini dan Norshahrul Idlan Talaha memastikan Kelantan kekal selaku pendahulu Liga Super selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam saingan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, malam tadi. 

Ramzul membuka jaringan pada minit pertama babak kedua selepas menerima hantaran tepat daripada kapten pasukan, Mohd Badhri Razi. Anak buah Datuk M Karathu yang menguasai babak kedua, menambah jaringan menerusi Norshahrul dua minit sebelum tamat permainan.



Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Felda United menafikan kelebihan laman sendiri Negeri Sembilan walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang. Selepas terikat tanpa jaringan, Abdul Ghani Abd Rahman memecah kebuntuan tiga minit sebelum tamat untuk pulang membawa tiga mata.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, anak buah Phillips Gary Michael gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Johor FC, malam tadi. 

Gol Johor FC diperoleh pada minit ke-56 menerusi Mohd Riduwan Maon yang memperdayakan dua pertahanan Sabah sebelum merembat kencang ke kiri pintu gol menewaskan penjaga gawang Sabah, Azizon Abdul Kadir. 

Di Stadium Darulaman, Kedah gagal menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengatasi jiran, Perak apabila sekadar seri 0-0. Kedah menguasai permainan namun jentera serangan dikemudi Khyril Muhymeen Zambri, Amar Rohidan dan Azlan Ismail gagal menjelmakan gol. 

Di Stadium Darulmakmur, Pahang memastikan kekecewaan tewas dua kali berturut-turut ditebus ketika melayan kunjungan kelab jiran, T-Team. Gol seawal minit ketiga oleh Zaiza Zainal Abidin terus memalit duka buat T-Team yang masih belum menang setakat empat perlawanan musim ini. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...