PENGENDALI Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan kesilapan bahagian pertahanan menjadi faktor utama kekalahan 2-0, kepada Perak dalam saingan Liga Super, di Stadium Perak Ipoh, malam kelmarin.
Ia sekali gus membuatkan pasukan itu gagal mempertahankan reputasi dan kedudukan selaku pendahulu carta liga yang dinikmati kira-kira dua minggu dan kekalahan itu menuntut usaha lebih keras buat anak buahnya, jika ingin kembali bangkit dan mendominasi kedudukan puncak carta liga.
Pengendali berpengalaman itu juga menyifatkan kekecewaan malam kelmarin sebagai suatu pengajaran berguna supaya pemain sentiasa bersikap lebih berhati-hati dan tidak mudah melakukan kesilapan terutama di bahagian benteng.
“Dengan melakukan sedikit kesilapan, kita terpaksa berputih mata apabila hasrat untuk meraih kemenangan tersasar sebaliknya pihak lawan keluar dengan ceria selepas berjaya mencapai kemenangan dan mendapatkan tiga mata yang berharga.“Saya sering kali mengingatkan pemain supaya sentiasa berhati-hati dengan berusaha mengelak daripada melakukan kesilapan kerana ia boleh memberi peluang pihak lawan menghukum pasukan,” katanya.
Berikutan kekalahan hasil jaringan Shahrulnizam Mustapa dan Akmal Rizal Rakhli, Negeri Sembilan kini turun ke tempat keempat manakala Kelantan yang mencatat kemenangan besar 4-1, ke atas Johor FC, mengambil alih tempat di puncak carta.
No comments:
Post a Comment