Saturday, February 12, 2011

Misi gegar Ipoh

SELEPAS berjaya mempamerkan persembahan membanggakan dalam dua perlawanan lalu, dua penyerang kian serasi, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, bakal menjadi taruhan Negeri Sembilan dalam misi merobek gawang Perak, sebaik turun menentang pasukan itu pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.
Hairuddin, bekas pemain Kelantan dan Ahmad Fakri, bekas pemain Perlis, dianggap peneraju utama barisan depan skuad Hoben Jang Hoben walaupun setakat ini kedua-duanya belum mencatat nama sebagai penjaring.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mengaku ketangkasan kedua-dua pemain terbabit ditagih untuk membantu merealisasikan misi meraih kemenangan sekali gus mempertahan reputasi selaku pendahulu carta liga.


Menurutnya, mereka diharap dapat memberikan persembahan cemerlang terutama dalam mencipta lebih banyak peluang menembusi benteng lawan walaupun mereka mungkin tidak berpeluang mencipta jaringan.

“Sebagai satu pasukan, tidak semestinya penyerang menjaringkan gol dan melihat kepada perlawanan menentang T-Team tempoh hari, Hairuddin berjaya memperdayakan pertahanan lawan bagi membolehkan rakan sepasukan menyudahkan gerakan. Saya harap dia ulangi kecemerlangan itu ketika menentang Perak.


“Bagi Ahmad Fakhri pula, saya percaya selepas beraksi bersama skuad kebangsaan Rabu lalu, keyakinannya kembali meningkat dan diharap momentum itu dapat membantu kemenangan pasukan,” katanya semalam.




Pengendali berpengalaman yang membawa Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia 2009 bakal mengekalkan barisan sedia ada.

Wan Jamak juga mahu anak buahnya memberikan komitmen tinggi selain tidak melakukan kesilapan yang mungkin boleh menjejaskan persembahan pasukan.



“Saya harap mereka kekalkan disiplin dan berusaha melaksanakan strategi dirancang selain bijak memanafaatkan setiap peluang menjaringkan gol bagi m meraih tiga mata, seterusnya mengekalkan kedudukan tangga teratas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...