JOHOR FC terus tertekan menjelang pertemuan melayani Selangor di Stadium JCorp malam ini selepas kehilangan kapten Rezal Zambery Yahya dan pemain sayap Eddy Helmi Manan.
Selain tidak menurunkan dua tonggak yang cedera itu, skuad Lebah bimbingan Azuan Zain juga mungkin terpaksa menyenaraikan penjaga gol kedua, Mohd Fazli Paat bagi menggantikan Mohd Anis Faron yang melangsungkan pernikahan.
Lantas Azuan mengakui agak terkilan faktor kecederaan dan komitmen peribadi menafikan hasratnya untuk membariskan kesebelasan terbaik bagi aksi yang dianggap sengit dan penting itu tetapi tetap positif untuk menyiapkan barisan terbaik berdepan pasukan penyandang juara kendalian K Devan itu.
“Permainan malam esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan dahagakan kemenangan yang mampu mengubah kedudukan liga tetapi saya perlu berhati-hati dengan corak taktikal supaya pemain tidak melakukan kesilapan.
“Kecederaan yang dialami Rezal Zambery dan Eddy tidak serius dan saya akan dapatkan nasihat pegawai fisioterapi sama ada mereka cergas dan boleh diturunkan atau sebaliknya.
“Gawang juga perlu diperkukuhkan andai Mohd Anis tidak dapat diturunkan tetapi saya yakin Mohd Fazli mampu menggalas tugas,” katanya.
No comments:
Post a Comment