PERLIS yang bertandang ke Kuala Terengganu untuk berdepan T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini mensasarkan untuk melihat keputusan positif dicatat selepas aksi kurang memberangsangkan sebelum ini.
Ketua jurulatih, Mosthakeen Omar berkata, rekod pencapaian Liga Super dan Piala FA sememangnya kurang memberangsangkan.
Justeru, katanya, apa yang boleh dilakukannya adalah memastikan pasukannya memberi cabaran terhadap skuad kendalian Yunus Alif yang juga bekas pengendali Perlis, musim lalu.
“Kami sedar T-Team bukan calang-calang pasukan. Kita letak sasaran agar mereka tidak mudah mengalah.
“Jika mengambil kira prestasi pasukan sebelum ini, dapat bawa pulang satu mata, sudah boleh dianggap pencapaian baik,” katanya.
Selepas mengharungi empat saingan Liga Super, kedua-dua pasukan sekadar mengutip satu mata hasil satu keputusan seri, tapi T-Team berada di atas Perlis yang menghuni tangga tercorot Liga Super.
Mosthakeen berkata, sebagai tuan rumah, T-Team pasti ingin menang.
“Lawan pasti turun dengan semangat dan keyakinan berganda selain memanafaatkan kelebihan untuk memastikan mata penuh.
“Kami sudah membuat penilaian dan memperbaiki kelemahan. Kami harap pemain berupaya mempamerkan persembahan terbaik hingga ke wisel penamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment