Justeru, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa tidak mahu rakan sepasukan bersikap terlalu yakin biarpun rekod pertemuan Perak dengan Negeri Sembilan di Stadium Perak musim lalu berpihak kepada tuan rumah apabila kedua-dua pasukan bertemu malam ini.
Walaupun Perak masih memiliki majoriti pemain skuad yang menundukkan anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang tampil dengan reputasi tinggi kerana baru menjuarai Piala FA ketika itu, Shahrulnizam tidak mahu rakan sepasukan memandang mudah pendahulu liga itu.
“Itu musim lalu. Tak sama. Negeri Sembilan juga sudah berubah dengan ramai pemain kebangsaan. Tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan. Yang pasti kami perlu bekerja keras,” katanya.
Kapten Seladang itu turut menganggap perlawanan itu sebagai cabaran kepada pemain senior yang baru menyertai semula pasukan Seladang seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Khairi Zainuddin, Nasril Nourdin serta dirinya.
“Ia ujian getir buat semua yang baru terbabit dengan Perak kerana skuad lama memiliki kelebihan ke atas Negeri Sembilan. Kami perlu beraksi lebih baik atau sekurang-kurangnya mempertahankan rekod,” katanya.
Menurut Shahrulnizam cuaca panas terik kebelakangan ini menyebabkan dia kurang sihat sejak beberapa hari lalu. Selain dirinya, Shahrulnizam berkata, Shafiq Jamal juga demam.
“Agak malang kami ditimpa masalah kesihatan hanya beberapa hari sebelum perlawanan. Apapun saya harap akan sembuh untuk bermain malam esok (ini),” katanya.
No comments:
Post a Comment