Wednesday, February 16, 2011

Zamri kembali temui sentuhan berbisa

PEMENANG kasut emas, musim lalu, Zamri Hassan mula menemui sentuhan berbisa dalam kancah Liga Perdana musim ini apabila menjaring gol pertama untuk PKNS pada pertemuan ketiga saingan liga yang memberi kemenangan tipis 1-0 ke atas Polis di Stadium MBPJ, Kelana Jaya kelmarin. 

Zamri bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-81 permainan sebelum tandukannya menemui jaring Polis, selepas beberapa percubaannya sebelum itu sekadar tersasar, terkena palang atau mudah ditangkap penjaga gol Muhammad Hamdan Sairi.



“Ini adalah gol pencetus semangat buat saya untuk terus memburu gol bagi mengekalkan gelaran penjaring terbanyak,” kata Zamri. “Saya tahu, apa yang lebih penting ialah kemenangan untuk pasukan, tetapi sebagai penyerang, tiada kepuasan kalau tidak dapat menjaringkan gol.”
Zamri turut mengharapkan bantuan rakan sepasukan dalam membantunya merealisasikan impian bergelar juara Liga Perdana musim ini, di samping mempertahankan kasut emas yang menjadi miliknya musim lalu hasil ledakan 20 gol.

“Saya tidak kisah digandingkan dengan sesiapa, asalkan pasukan dapat meraih kemenangan,” kata Zamri. “Cuma saya harap rakan-rakan dapat membantu saya untuk sekali lagi memburu gelaran penjaring terbanyak.” 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...