Monday, February 28, 2011

Liga Super tak diabai: Kim Swee

Sedar pemain masih dibelenggu keletihan, tapi masih atur strategi temui Perak

ELEMEN ‘letih’ pantas mencengkam minda Ong Kim Swee ketika barisan Harimau Muda A tampak harus dicanang dengan pendekatan terbaik menjelang cabaran perlawanan kedua, pra-Olimpik menentang Pakistan di Lahore pada 9 Mac ini. 

Namun, ketua jurulatih skuad muda negara itu tetap tidak mahu mengalih fokus daripada saingan kancah Liga Super yang sama penting ketika anak didiknya bersemangat mencari kedudukan terpuji dalam kejohanan domestik.

“Memang pemain saya keletihan selepas perlawanan menentang Pakistan. Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah Liga Super. Saya percaya tidak ada pemain dalam pasukan inginkan kekalahan. Jadi pada masa yang sama walaupun bertukar-tukar pemain, saya percaya kita perlu mendapatkan keputusan baik.
“Selepas ini Harimau Muda A akan bertemu Perak dan saya terpaksa memikirkan lagi. Saya tidak pasti lagi siapa yang akan diturunkan, apabila tiba masanya nanti saya tentu akan buat sedikit perubahan,” katanya selepas perlawanan Harimau Muda A menentang Felda United, di Stadium Shah Alam, kelmarin. 

Katanya, dalam tempoh seminggu ini sebelum beraksi di Lahore, dia perlu mengatur strategi dan juga memikirkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan dalam Liga Super bagi memastikan barisan pemain tidak terlalu keletihan nanti. 

Dalam perlawanan kelmarin, Kim Swee terpaksa menurunkan Mahalli Jasuli, Mohd Fadhli Shas, Mohd Affizi Faizal Mamat, Wan Zaharul Nizam dan Mohd Fandi Othman yang disenaraikan dalam perlawanan pertama bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...