KELANTAN mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super apabila bangkit menyamakan kedudukan untuk seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar manakala Terengganu melonjak ke tangga ketiga selepas menang tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur.
Terengganu yang menjadi pelawat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, menewaskan Kuala Lumpur hasil jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-38 dan Ashaari Samsuddin (m52) manakala ‘tuan rumah’ mendapat gol sagu hati menerusi tandukan Yong Kuan Yong pada minit ke-83.
Ashaari yang mendapat peluang meletakkan Terengganu di depan, gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas Abdul Hadi dijatuhkan manakala tindakan susulannya menyambar bola yang melantun daripada palang dibatalkan pengadil.
Anak buah Irfan Bakti Abu Salim terus mengasak Kuala Lumpur dan pada minit ke-38, Abdul Hadi menyempurnakan umpanan Ashaari untuk gol pembukaan tetapi usaha Terengganu menambah jaringan seminit sebelum rehat, hampa apabila tandukan kapten Marzuki Yusof, ditepis penjaga gol Norazilan Razali.
Pada babak kedua, Ashaari menebus kesilapannya dengan menjelmakan gol kedua Terengganu pada minit ke-52, selepas merampas bola daripada pertahanan Kuala Lumpur sebelum merembat melepasi Norazilan.
Tujuh minit sebelum tamat, Kuan Yong merapatkan jurang apabila menanduk melepasi jangkauan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee yang meninggalkan posisi.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar, salah faham antara penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan menyaksikan hantaran lintang Baddrol Bakhtiar disempurnakan Azlan Ismail pada minit ke-58 untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan itu.
Namun pendahulu liga itu bangkit menyamakan kedudukan menerusi Norshahrul Idlan Talaha yang merembat kencang dari dalam kotak penalti pada minit ke-79.
DUA pemain Kuala Lumpur cuba menghalang kemaraan Ashaari dalam saingan Liga Super, malam tadi. Terengganu menang 2-1. |
No comments:
Post a Comment