Thursday, February 17, 2011

Ahmad harap peminat bersabar

ALOR SETAR - Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff yang kini berdepan dengan tekanan daripada penyokong setia Hijau Kuning ekoran aksi tidak konsisten dalam empat perlawanan awal Liga Super, yakin anak buahnya mampu bangkit bagi mencabar kejuaraan liga.

Menurutnya, meskipun skuad Sang Kenari hanya mampu meraih lima mata daripada empat perlawanan berkenaan, mereka berupaya mempamerkan persembahan yang memuaskan dengan mengatur gerak dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Cuma, katanya, kegagalan menterjemahkan peluang dengan jaringan gol menyaksikan Hijau Kuning terpaksa berputih mata untuk memperoleh keputusan lebih baik.

Justeru katanya, para penyokong Sang Kenari perlu bersabar dan terus memberi sokongan kepada pasukan itu untuk membuktikan keupayaan mereka.
"Saya percaya kami akan bangkit," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kedah menentang Perak yang berkesudahan dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Darul Aman kelmarin.

Kedah kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan mengumpul lima mata setelah meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan daripada empat perlawanan.

Menurut Ahmad, Kedah dijangka dapat membariskan kesebelasan terbaiknya 
pada perlawanan akan datang selepas beberapa tonggak yang mengalami kecederaan mulai pulih.

Katanya, ia melibatkan pemain seperti Khyril Muhymeen Zamry, Azlan Ismail dan Amar Rohidan yang dapat diturunkan beraksi ketika menentang Perak walaupun bukan 90 minit.

"Sekembalinya pemain-pemain utama membolehkan gandingan terbaik dibentuk bagi mencari rentak kemenangan yang disasarkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...