GANDINGAN Ahmad Fakri Saarani yang kembali mendapat kepercayaan K Rajagobal dalam skuad kebangsaan dan Hairuddin Omar, bakal menjadi taruhan Negeri Sembilan dalam misi memecah gawang Perak, apabila turun di Stadium Perak di Ipoh, malam ini.
Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, mengakui ketangkasan kedua-dua pemain terbabit amat ditagih untuk membantu merealisasikan misi meraih kemenangan dan mempertahankan reputasi selaku pendahulu carta Liga Super ketika ini.
Katanya, kedua-dua pemain diharap dapat memberikan persembahan cemerlang terutama dalam mencipta peluang untuk menembusi benteng lawan.“Melihat kepada perlawanan menentang T-Team tempoh hari, Hairuddin memperdayakan pertahanan lawan bagi membolehkan rakan sepasukan menyudahkannya dengan jaringan dan saya berharap dia dapat mengulangi aksi cemerlang itu esok (malam ini).
“Bagi Ahmad Fakri pula, saya percaya keyakinannya kembali meningkat selepas mempamerkan aksi memberangsangkan ketika membantu skuad kebangsaan mencapai kemenangan ke atas Hong Kong dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, Rabu lalu,” katanya semalam.
Menurutnya, tidak banyak perubahan dalam kesebelasan utama dan dia mengekalkan barisan sedia ada kerana yakin mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik walaupun sedar bakal menghadapi tentangan sengit daripada skuad Seladang yang mendapat sokongan padu peminat setia.
“Apa yang saya harapkan, pemain dapat mengekalkan disiplin dan berusaha melaksanakan strategi yang dirancang,” kata Wan Jamak yang akan membawa pasukannya bertandang ke gelanggang lawan buat kali pertama musim ini.
“Pemain juga perlu bijak memanfaatkan setiap peluang jaringan bagi menjamin hasrat pulang dengan tiga mata, seterusnya kekal di tangga teratas carta.”
No comments:
Post a Comment