Akan turun dalam aksi terakhir sebagai ketua pasukan
KESUDIAN Selangor membenarkannya berhijrah ke Indonesia walaupun masih memiliki kontrak hingga hujung musim ini, ingin dibalas Safee Sali dengan aksi terbaik apabila menentang Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.
Safee yang diberi penghormatan memakai lilitan lengan selaku kapten pasukan pada penampilan terakhirnya bersama The Red Giants, mahu menjadikan perlawanan itu sebagai kenangan paling bermakna buat dirinya sebelum menimba pengalaman baru bersama Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia (ISL) nanti.
“Saya berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana menyokong penuh hasrat murni saya berhijrah ke Indonesia untuk mempertingkatkan karier bola sepak saya,” kata Safee yang muncul penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 hingga menarik minat Pelita Jaya menawarkan kontrak dengan kelab Indonesia itu.
“Semestinya saya akan membalas jasa mereka dengan menampilkan aksi terbaik menentang Kuala Lumpur nanti,
“Tambah manis kalau saya dapat menjaringkan gol pada perlawanan itu sebagai hadiah kepada FAS dan penyokong setia The Red Giants yang banyak menyokong saya selama ini.”
Tekad Safee itu pasti satu rangsangan buat Selangor yang mahu meneruskan rentak kebangkitan di Kangar selepas dikecewakan Kelantan dalam perlawanan sulung mereka.
Lebih menceriakan skuad kendalian K Devan ialah prestasi membanggakan dua anak buahnya - Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal - yang masing-masing menjaringkan gol ketika membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sebagai menghargai sumbangan Safee bersama Selangor, satu majlis khas akan diadakan selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur itu.
“Saya menyeru penyokong supaya datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam malam esok (malam ini) bagi menyaksikan aksi terakhir Safee untuk Selangor selain peluang beramah mesra dengannya sebelum dia berangkat ke Indonesia,” katanya.
No comments:
Post a Comment