PEMAIN Sarawak, Bobby Gonzales (kiri) bersaing dengan pemain Harimau Muda, Muhd. Syazwan pada pelawanan Liga Perdana di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, semalam. - Utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN/SOPI |
KUALA LUMPUR – Hasrat Perlis untuk memungut mata pertama musim ini tidak berjaya apabila tewas 1-3 kepada Terengganu dalam perlawanan ketiga Liga Super 2011 di Stadium Utama, Kangar semalam.
Perlis tersentak dengan jaringan pertama Terengganu melalui jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-23 selepas dia tidak dikawal dalam petak penalti dengan mudah menolak masuk hantaran leret Joseph Kalang Tie.
Tiga minit selepas itu kealpaan skuad Singa Utara dihukum lagi, kali ini giliran pemain kebangsaan, Mohd. Ashaari Shamsuddin mencatat nama sebagai penjaring bagi membolehkan Terengganu mendahului 2-0 pada separuh masa kedua.
Peluang Perlis untuk bangkit pada separuh masa kedua seakan tertutup apabila pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim memperoleh gol ketiga pada minit ke-59 melalui jaringan penalti Abdul Manaf Mamat.
Bagaimanapun, Perlis berjaya memperoleh gol saguhati 10 minit kemudian apabila Mohd. Hafiszuan Salehuddin berjaya melakukan rembatan jarak jauh deras dari luar petak penalti menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.
Ketika Perlis cuba bangkit pada baki perlawanan mereka tersentak dengan pemberian kad merah oleh pengadil perlawanan kepada Hafiszuan yang menerima kad kuning kedua pada minit ke-75 kerana membantah keputusan pengadil.
Sementara itu, PKNS mengungguli Liga Perdana apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut musim ini selepas mengalahkan Majlis Perbandaran Muar 2-0 hasil jaringan Ahmad Tharmini Saiban dan Mohammad Khairul Akhyar Husain.
Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak gagal menggunakan kesempatan beraksi
di gelanggang sendiri apabila seri 3-3 menentang Harimau Muda B, dengan gol Bujang Senang disumbangkan oleh Bobby Gonzales minit ke-45, Ashri Chuchu (70) dan Khairul Azahar Edros (84).
Harimau Muda B pula yang tiga kali berada di depan memperoleh jaringan menerusi D. Saarvindran (27) dan dua gol lagi disumbangkan oleh Mohd. Syafiq Shalihin Mohd. Noor pada minit ke-56 dan 79.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia membelasah Pulau Pinang 4-0 hasil dua gol jaringan S. Sumindren, manakala G. Puaneswaran dan Zafran Olibullah masing-masing menyumbat satu gol.
Di Stadium Batu Kawan, SDM Navy tewas tipis 2-3 kepada Kelab Bola Sepak USM walaupun S. Thevan meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan jaringan di minit ke-20 sebelum Mohd. Baser Mohd. Napae menyamakan kedudukan hasil gerakan cantik Mohd. Faili Ghazali dari tengah padang.
Ibrahim Ani menghukum kelalaian pertahanan USM yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan jaringan pada minit ke-54 sebelum Muhd. Fauzan Zainal Abidin menyamakan kedudukan seminit kemudian.
Perlawanan yang hampir berkesudahan dengan seri 2-2 berubah apabila Faili muncul wira USM dengan gol kemenangan pada minit ke-88 menyambar bola muntah rembatan Manzoor Azwira Abd. Wahid selepas penjaga gol SDM, Safril Hafizi.
Sementara itu dalam perlawanan lain Polis Diraja Malaysia (PDRM) seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Sime Darby pula tewas 0-1 kepada Johor.
No comments:
Post a Comment