KUALA LUMPUR - Biarpun beraksi cemerlang di bahagian pertahanan tengah Selangor dalam tiga perlawanan awal Liga Super, Mohd. Asraruddin Putra Omar tidak terfikir mahu terus kekal di posisi itu dalam masa akan datang jika diberikan pilihan.
Menurut pemain yang berasal dari Kuala Selangor itu, dia akan beraksi di posisi itu hanya sementara waktu kerana mengikut arahan jurulatih, K. Devan ekoran ketiadaan dua tonggak penting, Khairul Anuar Baharom dan Mohd. Nasriq Baharom.
''Tidak menjadi masalah bermain di bahagian pertahanan tengah kerana posisi itu bukanlah sesuatu yang asing buat saya.
''Tetapi jika ditanya yang mana satu posisi pilihan, sudah tentu bek kiri menjadi pilihan kerana saya rasakan gaya permainan saya lebih sesuai bermain di posisi berkenaan.
''Saya rasa pada perlawanan akan datang, saya akan beraksi semula di bahagian bek kiri. Walaupun begitu, ia semua bergantung kepada perancangan jurulatih, namun saya tetap bersedia diturunkan di mana-mana posisi," katanya.
Dia berkata demikian selepas beraksi perlawanan futsal bersama peserta Raja Lawak 5 di One Utama, kelmarin.
Asraruddin telah bergandingan bersama bekas pemain Pahang, Yosri Derma Raju ekoran kecederaan Nasriq dan penggantungan Khairul dalam tiga perlawanan.
Namun, pemain kebangsaan itu dilihat mampu beraksi baik di posisi terbabit dengan membantu Selangor mengutip satu kemenangan dan satu keputusan seri biarpun gagal mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah selepas kalah kepada 0-2 kepada Kelantan.
Walaupun menyedari dia sukar mendapat tempat di posisi bek kiri ekoran kehadiran P. Gunalan, Asraruddin berkata dia akan mencuba yang terbaik bagi memenangi hati jurulatih.
''Gunalan lebih senior daripada saya dan itu menjadi pertimbangan jurulatih tetapi saya tidak akan berputus asa bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama Selangor pada musim ini, " ujarnya.
No comments:
Post a Comment