Sunday, February 13, 2011

PKNS, USM kongsi mata dahului Liga Perdana

TANGGA teratas Liga Perdana kini dihuni PKNS dan USM dengan masing-masing mengumpul enam mata selepas menang dua perlawanan berturut-turut, tetapi perbezaan gol memberi kelebihan buat kelab dari Selangor itu untuk mendahului pesaing dari Pulau Pinang. 

Pasukan kendalian Abdul Rahman Ibrahim memulakan saingan dengan cemerlang selepas menewaskan Sime Darby 1-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, disusuli kemenangan 2-0 ke atas MP Muar di Stadium JCorp Pasir Gudang, Johor.



USM pula merakam kemenangan ke atas Polis 1-0 dan SDM Navy 3-2 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah setakat dua perlawanan.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan gelaran juara Liga Perdana milik kami musim ini tetapi saya gembira dengan persembahan pemain PKNS yang mengekalkan kemenangan bersih setakat ini. 

“Saya harap rentak kemenangan ini dapat dikekalkan sehingga akhir musim,” kata penolong jurulatih, Anuar Abu Bakar. 

Untuk perlawanan ketiga, skuad kendalian Abdul Rahman itu akan melayan kunjungan Polis di Stadium MBPJ, sementara USM bertemu Tentera di Stadium Selayang, Selasa ini. 

Bagi Sime Darby FC yang mensasarkan untuk beraksi di Liga Super musim depan, masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kendalian Ismail Zakaria itu yang kini berdepan risiko kembali beraksi di kancah Piala FAM sekiranya terus dirundung kekalahan. 
Peluang Sime Darby membuktikan kehadirannya dalam saingan Liga Perdana kali ini bukan sekadar pelengkap perlawanan, adalah dengan mengutip tiga mata pertama pada pertemuan dengan pasukan tercorot, Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...