Safee kecewa gagal bantu pasukan raih mata penuh
JURULATIH Selangor, K Devan berpuas hati dengan satu mata yang diraih daripada perlawanan menentang Kuala Lumpur kelmarin, namun bagi Safee Sali ia satu kekecewaan buat diri kerana gagal membantu pasukan meraih mata penuh pada penampilan terakhirnya.
Penyerang prolifik skuad Harimau Malaya itu yang akan berlepas ke Jakarta, jam 9 pagi ini untuk menyertai kelab profesional Pelita Jaya dalam Liga Super Indonesia menyuarakan rasa kecewa betapa lilitan dipakai selaku kapten pasukan ketika seri 1-1 dengan Kuala Lumpur, kelmarin tidak menceriakannya.
“Perlawanan terakhir, tidak dapat menjaringkan gol dan membantu Selangor meraih mata penuh... seharusnya saya sedih dengan pengakhiran begini,” kata Safee yang akan memulakan kerjaya baru.
“Saya dihidangkan dengan dua peluang tetapi gagal menyumbat gol dan saya memang kecewa dengan persembahan saya pada malam ini (kelmarin).”
Apapun, keputusan seri itu tetap menggembirakan Devan yang menyifatkan aksi dipamerkan anak buahnya meningkat berbanding dua perlawanan mereka sebelum ini.
Devan berkata, Selangor mencipta beberapa peluang baik, namun penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri.
“Bagi saya, aksi yang ditunjukkan adalah persembahan terbaik yang ditunjukkan Selangor setakat ini tetapi saya harus akui masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki untuk kami menjadi sebuah pasukan yang benar-benar mantap dan digeruni,” katanya.
No comments:
Post a Comment