Thursday, February 17, 2011

Wan Jamak ‘terancam’

AKSI hambar Negeri Sembilan ketika tewas kepada Felda United pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin mendorong Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan memberi kata dua kepada ketua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan.
Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, Wan Jamak berdepan kemungkinan digantung jika reputasi Negeri Sembilan terus tercalar dan menerima aib dalam perlawanan berikut.

“Saya kecewa dengan prestasi pemain yang gagal memberikan persembahan seperti mana diharapkan apatah lagi mereka tewas kepada pasukan yang beraksi dengan 10 pemain.


“Saya harap persembahan buruk ini tidak berterusan bagi memastikan kedudukan Wan Jamak tidak terjejas,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Seremban, petang semalam.

Beliau bagaimanapun mengakui tindakan terhadap Wan Jamak hanya akan diambil selepas menerima laporan penuh daripada jawatankuasa pegawai penilai yang dilantik PBNS.


“Saya harap persembahan pasukan kembali ke landasan sebenar dengan mencatat kemenangan bagi memastikan pasukan mempertahankan reputasi dan berupaya mendominasi saingan ini,” katanya.




Sementara itu, Wan Jamak tetap yakin dengan keupayaan skuad bimbingannya mengharungi saingan Liga Super musim ini sekalipun mereka menerima aib di gelanggang sendiri apabila tunduk kepada Felda United.

Menurutnya, kekalahan kedua berturut-turut selepas kecundang kepada Perak, 2-0, mungkin disebabkan beberapa kesilapan kecil pemain walaupun secara keseluruhan mereka sudah mempamerkan persembahan terbaik dan menguasai sebahagian besar perlawanan.




“Pemain leka dan hilang tumpuan pada saat-saat akhir membuatkan kami dihukum lawan namun ketiadaan Ahmad Fakhri Saarani yang digantung memberi kesan kepada kemantapan barisan depan yang didapati gagal menembusi benteng lawan.

“Gandingan Hairuddin Omar dan Mohd Firdaus Azizul (Ahmad Aminuddin Shaharuddin) tidak cukup berkesan untuk merobek gawang lawan dan buktinya beberapa percubaan di pintu gol Felda United tidak membuahkan hasil,” kata Wan Jamak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...