Wednesday, February 16, 2011

Pemain Johor masih ‘mentah’, cari keserasian

JURULATIH Johor, Azmi Mohamad menganggap barisan pemainnya masih dalam proses pembentukan walaupun mencatat kemenangan 2-0 ke atas MP Muar FC pada saingan Liga Perdana, di Stadium Larkin, kelmarin.


Bekas pemain kebangsaan itu masih berusaha untuk membentuk kombinasi terbaik selepas sekadar memiliki pemain yang masih ‘mentah’ untuk menghadapi saingan Liga Malaysia.

Katanya, biarpun diperkuat kehadiran muka baru yang belum pernah beraksi saingan liga kompetif namun Mohd Amirul Abu Seman, Azharidzuan Alias, Muhamad Fahian Roslan dan Mohd Asyraf Mohd Al-Jafri sudah menunjukkan peningkatan.


“Keempat-empat pemain itu adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan mereka beri komitmen tinggi bukan sahaja pada latihan malah tiga perlawanan yang diharungi dan ia satu peningkatan memberangsangkan.

“Selepas mengharungi tiga perlawanan liga, saya puas hati hasil dua kemenangan dan satu seri untuk berada di tangga keempat liga tetapi masih ada kelonggaran yang harus diperbaiki terutama pemain kerap lambat panas.


“Walaupun puas hati dengan tiga mata yang diraih, pemain Johor hanya pamer aksi terbaik di babak kedua manakala babak pertama agak kelam kabut hingga pemain kerap hilang kawalan bola,” katanya.




Azmi yang meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dua tahun bagi Johor melakar kejayaan yakin usaha itu mampu dilaksana andai semua pemain beri komitmen 100 peratus.

Beliau juga tidak menafikan kehadiran semula bekas penyerang Negeri Sembilan, Norizam Salaman mengemudi barisan serangan memainkan peranan penting untuk menguatkan jentera skuad yang bergelar Jengking itu.



“Rata-rata pemain Johor berusia bawah 24 tahun tapi itu bukan alasan kerana barisan pemain muda memiliki keinginan dan karisma tersendiri dan saya yakin mereka mampu buat kejutan,” kata Azmi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...