TIADA yang lebih menggembirakan jurulatih Felda United, E Elavarasan apabila pasukan bimbingannya akhirnya menamatkan kemarau kemenangan pada saingan Liga Super selepas menundukkan Pahang, malam kelmarin.
Selepas mempamerkan aksi kurang meyakinkan pada dua perlawanan pertama, Stadium Darulmakmur akhirnya menjadi saksi kemenangan Felda United yang menjadi tuan rumah perlawanan itu, sekali gus meranapkan impian Pahang mengutip tiga mata penuh.
Bagi Elavarasan, perlawanan kedua-dua pasukan seimbang, namun anak buahnya dilihat bermain secara habis-habisan dan ia menjadi kunci utama kepada kejayaan Felda United.
“Sebelum perlawanan saya sendiri tak dapat menjangkakan apa-apa kerana berdasarkan pengalaman lalu, Pahang bukanlah pasukan mudah untuk ditewaskan.
“Bagaimanapun, saya lihat setiap pemain benar-benar dahagakan kemenangan dan memberikan komitmen 100 peratus ketika beraksi di atas padang sehingga hasilnya kami berjaya mengutip tiga mata penuh.
“Mereka tidak mensia-siakan peluang terhidang tetapi selain itu, nasib juga mungkin memihak kepada kami apabila mencatatkan kemenangan di tempat lawan,” katanya merujuk pertukaran lokasi perlawanan kelmarin yang sepatutnya berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras namun ditukar ke gelanggang lawan.
Elavarasan berkata, kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada anak buahnya untuk mempamerkan aksi lebih baik pada saingan yang masih panjang.
“Saya lihat saingan Liga Super kali ini lebih sengit kerana setiap pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang dan sesiapa saja boleh mencatatkan kemenangan atau terpaksa menerima kekalahan.
“Sudah tentu kemenangan ini memberi keyakinan kepada kami untuk cuba meraih lebih banyak kemenangan tetapi seperti saya katakan sebelum ini, ia bukan mudah,” katanya Pada perlawanan yang menyaksikan Felda United mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Pahang itu, Liew Kit Kong dan Faderin Kadir masing-masing menyumbang dua gol untuk Felda United pada minit ke-47 dan 59 sebelum Pahang cuba bangkit menerusi gol Azamuddin Akil pada minit ke-77, namun ia tidak memberi sebarang makna kepada pasukan bimbingan Dollah Salleh.
No comments:
Post a Comment