Thursday, February 17, 2011

Azuan terselamat

STATUS Azuan Zain selaku jurulatih Johor FC masih kekal berikutan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah ketika timbul ura-ura pihak pengurusan ingin mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincang kedudukan pembimbing skuad bergelar Lebah itu.


Dua kekalahan lalu nyata mengundang rasa kurang puas hati pihak pengurusan selepas dipalit kekalahan mengejut kepada Perak 1-0 sebelum diaib Kelantan 4-1.

Namun, tindakan berani Azuan mempertaruhkan barisan tempang ketika beberapa tonggak masih dibelenggu kecederaan kembali melonjakkan keupayaan bekas pertahanan Johor itu yang mampu mencorakkan kemenangan berharga buat Johor FC.




Azuan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kedudukannya selaku jurulatih Johor FC yang agak terumbang-ambing.

“Saya beri komitmen tinggi untuk membentuk barisan mantap walaupun terpaksa berdepan masalah kecederaan dan belum mampu membariskan kesebelasan utama mengharungi saingan Liga Super.


“Tiga mata diraih amat bermakna selepas tewas dua perlawanan lalu,” katanya.




Azuan berkata, rombakan kecil terpaksa dilakukan untuk memantapkan barisan Johor FC selepas menyenaraikan Azizan Baba di posisi tengah manakala Eddy Helmi Manan mengetuai serangan sambil Mat Saiful Mohamad menguatkan benteng pertahanan.

Beliau menegaskan, kelibat ketiga-tiga pemain tidak diturunkan ketika menentang Kelantan kerana kurang cergas namun menggunakan khidmat mereka ketika menentang Sabah.



“Tumpuan kini terarah membuat persiapan saingan Piala FA menentang SPA FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Sabtu ini,” kata Azuan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...