Saturday, February 19, 2011

Rentak Elavarasan

TRANSFORMASI besar-besaran pendatang baru Liga Super, Felda United dengan membawa masuk sejumlah pemain berpengalaman semakin membuahkan hasil apabila mencatatkan dua kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan juara Piala FA 2010, Negeri Sembilan, Selasa lalu walaupun kecundang pada dua aksi awal.


Rentak kemenangan pada saingan Liga Super itu pastinya ingin diteruskan anak buah jurulatih E Elavarasan apabila bertemu Perlis pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Utama Negeri di Kangar, malam ini.

Apatah lagi dengan skuad Singa Utara yang dibarisi hampir keseluruhan pemain muda dan kelihatan masih mencari rentak apabila belum mencatatkan sebarang kemenangan daripada empat perlawanan yang diharungi sehingga menghuni tangga tercorot Liga Super dengan meraih satu mata.




Bagi kapten Felda United, Khaironnisam Sahabuddin Hussain kemenangan mengejut ke atas salah satu pasukan terbaik Liga Malaysia, Negeri Sembilan di Paroi tempoh hari menjadi tonik untuk dirinya dan rakan sepasukan terus memberikan aksi terbaik pada saingan Piala FA yang dijalankan secara kalah mati.

Menurut bekas pemain pertahanan kebangsaan itu, walaupun jaringan kemenangan itu hadir lewat pada minit ke-87 melalui Abd Ghani Abd Rahman serta boleh dianggap sebagai bernasib baik, ia mencukupi bagi memberi keyakinan kepada pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman itu.


“Rakan-rakan bersemangat kerana kemenangan itu, tapi kami belum mencapai tahap terbaik sebagai satu pasukan. Masih ada kelemahan perlu diperbaiki.




“Paling menggembirakan adalah perubahan dan peningkatan pada setiap perlawanan yang diharungi sekali gus memberikan petanda positif untuk membentuk pasukan mantap bersaing pada musim ini,” katanya.

Pada musim lalu, Felda United yang juga juara Liga Perdana mara ke pusingan kedua sebelum disingkirkan Pos Malaysia dengan agregat 3-2 manakala Perlis tewas seawal pusingan pertama.



Naib juara Piala FA musim lalu, Kedah yang mendapat bye pada pusingan pertama akan menanti pemenang antara Felda United dan Perlis untuk aksi pusingan kedua.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...