Thursday, February 17, 2011

Wan Zack mahu sertai kesebelasan utama

PETALING JAYA - Pemain tengah Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor menaruh harapan agar terpilih untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan Olimpik negara menentang skuad Olimpik Pakistan pada perlawanan kelayakan pertama Rabu depan di Stadium Shah Alam.

Ketika ini, ketua jurulatih, Ong Kim Swee masih belum lagi membuat keputusan siapa yang bakal membarisi kesebelasan utama skuad Olimpik negara untuk perlawanan minggu depan.

Keadaan tersebut membuatkan Wan Zack terpaksa memberikan seratus peratus komitmen pada perlawanan menentang Perlis, kelmarin dalam usaha menarik perhatian Kim Swee agar memilihnya untuk berada dalam kelompok pemain utama pasukan.

''Saya kini akan memberikan sepenuh tenaga dan komitmen kepada pasukan kami selain meletakkan harapan tinggi agar dipilih untuk berada dalam kesebelasan utama.

''Buat masa ini biarlah jurulatih menilai pemain mana yang layak untuk beraksi menentang Pakistan pada minggu depan kerana jurulatih yang lebih memahami kekuatan dan kelemahan pemain,'' katanya kepada pemberita selepas perlawanan Harimau Muda A menentang Perlis di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya, kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda A hanya memperoleh keputusan seri 1-1 menentang Perlis.

Sewaktu perlawanan berlangsung Wan Zack turut dilihat beraksi dengan baik apabila berjaya mencipta peluang untuk melakukan rembatan tepat ke pintu gol Perlis seawal minit ke-6 namun bola berjaya ditangkap oleh penjaga gol, Hairon Fazreen.

Ketika babak kedua bermula aksi yang dipamerkan Wan Zack sedikit hambar selain gagal memanfaatkan peluang yang terbuka pada minit ke-62 di hadapan pintu gol Perlis.

Gol skuad Harimau Muda A hanya mampu diperolehi melalui pemain Gary Steven Robbat pada minit ke-89 selepas Perlis memperoleh jaringan awal pada minit ke-74 hasil rembatan kencang Mohd. Faiz Subri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...