USAHA mempertahankan reputasi dan mengekalkan kemenangan untuk kali ketiga berturut-turut menjadi misi utama Negeri Sembilan sebaik turun menentang Perak dalam saingan Liga Super, di Stadium Perak Ipoh, Sabtu ini.
Selepas menang dua perlawanan dan menghimpun mata maksimum, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu, tidak mahu impian mereka melebarkan rekod kemenangan tersekat pada aksi pertama di tempat lawan itu.
Justeru, pemain Negeri Sembilan menjanjikan persembahan lebih mantap kerana menyedari pasukan lawan itu sudah mendapat keyakinan baru selepas mereka berjaya menewaskan Johor FC dalam perlawanan kedua, minggu lalu.
Kapten pasukan, Mohd Shukor Adan, berkata pemain skuad Hoben Jang Hoben tidak boleh memandang mudah cabaran Perak kerana kemenangan ke atas Johor FC, menyerlahkan kekuatan sebenar skuad itu yang mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman dan memiliki rekod baik, Norizan Bakar.
Menurutnya, selain kelebihan dimiliki di halaman sendiri dan sokongan padu penyokong yang mengharapkan kejayaan pasukan kesayangan mereka, rekod Negeri Sembilan di Stadium Perak pada musim lalu juga kurang memberangsangkan.
“Hakikatnya kami harus menggandakan lagi usaha dengan memberikan persembahan lebih baik berbanding dalam dua perlawaan lalu, untuk memastikan sasaran kemenangan dan meraih tiga mata tercapai.
“Berpandukan dua perlawanan lalu, kami sedar masih terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi untuk memastikan persembahan yang lebih mantap serta mampu mengimbangi kekuatan pihak lawan.
“Apa yang saya harapkan kepada rakan-rakan ialah supaya tidak melakukan kesilapan mudah terutama pada penghujung babak kerana ia pasti akan memberi kesan sekali gus mungkin menyukarkan misi mencapai kemenangan,” katanya semalam.
No comments:
Post a Comment