PENYERANG Selangor, Mohd Fadzli Shaari tidak menganggap ketiadaan Safee Sali memberi tekanan dalam menajamkan lagi jentera serangan skuad kendalian K Devan itu.
Sebaliknya, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mahu membalas kepercayaan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), khususnya jurulatih yang memberi kepercayaan di barisan serangan.
Menurut Mohd Fadzli, ketiadaan Safee akan dirasai tetapi ia memberi lebih peluang kepadanya untuk mengetuai barisan serangan selepas berperanan sebagai pembantu.
“Pada dua perlawanan liga lalu, saya bertindak sebagai pembantu dan ketiadaan Safee akan meletakkan beban tugas akan lebih bertambah dalam usaha memburu gol.
“Saya tidak anggap ia tugas sukar memandangkan ketika bersama KL Plus musim lalu, saya memang bertindak sebagai penyerang dan berjaya menjaringkan 18 gol sepanjang musim lalu.
“Kepercayaan jurulatih sebagai penyuntik semangat untuk bekerja lebih keras untuk membantu Selangor mencipta kejayaan bermakna musim ini,” katanya semalam.
Difahamkan, ketiadaan Safee memaksa Devan menggandingkan beberapa pemain termasuk Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal dan S Sritharan untuk bergandingan dengan Mohd Fadzli di bahagian depan.
Gandingan di bahagian serangan itu perlu segera dilakukan menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Pada dua perlawanan lalu, Selangor tewas 0-2 kepada Kelantan sebelum bangkit mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perlis.
Dengan kepercayaan yang diberikan FAS, beliau berazam membantu pasukan itu mencipta kejayaan gemilang termasuk merampas kembali Piala Malaysia.
“Kejayaan menjaringkan 18 gol musim lalu, masing-masing 12 dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia (enam), membuktikan aksi penyudah masih lagi ada dan saya akan buktikan pada aksi Liga Super,” katanya.
No comments:
Post a Comment