STADIUM Tan Sri Hassan Yunus, Larkin mendapat lampu hijau dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membenarkan perlawanan Liga Perdana membabitkan Johor diadakan pada sebelah malam selepas melakukan pemeriksaan kelmarin.
Naib Presiden 1 Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Abd Aziz Sapian berkata, FAM diketuai Pengerusi Jawatan Kuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin dan penolong Setiausaha FAM, Ahmad Fuad Daud melakukan pemeriksaan terutama kesesuaian padang dan pencahayaan lampu limpah nyata berpuas hati dengan keadaan stadium berkenaan.
Katanya, cahaya lampu limpah melepasi tahap minimum 800 lux manakala keadaan padang mengikuti spesifikasi ditetapkan FAM - sekali gus menyaksikan perlawanan Johor menentang Majlis Perbandaran Muar dalam saingan Liga Perdana akan diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Isnin ini.
“Saya berterima kasih kepada FAM yang beri kebenaran kepada PBNJ untuk melangsungkan perlawanan di gelanggang sendiri selepas terpaksa menumpang Stadium JCorp, Pasir Gudang pada aksi pertama menentang Pos Malaysia, 31 Januari lalu,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Johor, Azmi Mohamad juga tampak lega dengan keputusan FAM membenarkan skuad bimbingannya beraksi di stadium berkenaan malah yakin betapa barisan pemain ingin menebus kehampaan selepas sekadar meraih satu mata apabila seri 1-1 dengan Pos Malaysia.
No comments:
Post a Comment