KUANTAN - Khabar gembira buat penyokong Pahang apabila Stadium Darul Makmur yang bakal dibaik pulih, akan terus menjadi gelanggang tuan rumah bagi saingan Liga Super dan separuh akhir pertama Piala FA.
Lapan aksi skuad Pahang yang dibimbing Dollah Salleh akan dilangsung di stadium tersebut sebelum keputusan baru diperoleh awal Jun ini bagi menutup sementara untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Omar Othman lega dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membenarkan Stadium Darul Makmur digunakan.
"PBNP mendapat kebenaran daripada FAM untuk Stadium Darul Makmur digunakan sebagai tuan rumah bagi skuad Pahang sekurang-kurangnya sehingga awal Jun ini," katanya di sini semalam.
Stadium Darul Makmur sepatutnya ditutup awal bulan ini untuk semua acara bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih sebagai persediaan Pahang untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia Mei tahun depan.
Bagaimanapun, kelewatan kerja-kerja berkenaan memberi peluang kepada PBNP membuat permohonan untuk terus menggunakan stadium sehingga Jun ini dan mungkin terus disambung jika projek itu masih tertangguh.
Omar berkata, lebih 8,000 penyokong hadir ketika Pahang bertemu Kelantan dan purata 3,000 hingga 4,000 penyokong memenuhi Stadium Darul Makmur berikutan persembahan mantap skuad Dollah.
"Ini sekali gus meningkatkan pendapatan PBNP kerana jumlah penyokong ke stadium musim ini amat ketara jika dibandingkan dengan hanya sekitar 200 hingga 400 penyokong musim lalu," katanya.
No comments:
Post a Comment