Tuesday, February 8, 2011

Barisan muda KL tak gentar Selangor

BERTEMU Selangor di Stadium Shah Alam Sabtu ini, diakui bukan perkara mudah untuk diharungi barisan muda Kuala Lumpur tetapi ketua jurulatih Razip Ismail mengharapkan penyokong setia skuad warga kota mampu beramai-ramai membangkitkan semula semangat pemain seperti ketika zaman kegemilangan pasukan itu. 

Menurutnya, sokongan padu penyokong mampu menyuntik semangat luar biasa dan memberi kekuatan mental kepada anak didiknya di dalam padang untuk berdepan Gergasi Merah yang berada dalam kelas tersendiri.



“Saya akui penyokong Kuala Lumpur tidak ramai berbanding dulu tetapi pemain akan berusaha mencari kemenangan untuk menarik semula kepercayaan peminat seperti yang pernah kita kecapi suatu ketika dulu.
“Apa yang dapat saya lihat, jumlah penyokong Kuala Lumpur semakin berkurangan dan yang tinggal kini hanya penyokong setia. Saya harap mereka dapat memberi peluang dan perangsang kepada pemain muda kini dan terus memberi sokongan walaupun kami beraksi di luar,” kata Razip. 

Kuala Lumpur yang kini berkongsi tangga ketiga Liga Super bersama Perak dengan empat mata hasil keputusan seri dengan Kedah sebelum menewaskan Sabah, pernah mengecap zaman kegemilangan bergelar juara liga (1996 dan 1998), juara Piala Malaysia (1987, 1988 dan 1989) dan juara Piala FA (1993,1994 dan 1999). 

Mengulas pertemuan dengan Selangor, Razip berkata dia kini giat menggandakan latihan dan menggilap bahagian serangan dan pertahanan bagi mengekang asakan penyandang juara Liga Super itu. 

“Pemain diberikan cuti Tahun Baru Cina tetapi kami menyambung semula latihan sejak Jumaat lalu,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...