KEBANGKITAN skuad Perak yang menewaskan Johor FC dalam perlawanan kedua Liga Super sebelum ini membuat pendahulu carta, Negeri Sembilan bersikap lebih berwaspada sebaik turun menentang pasukan itu, di Stadium Perak Ipoh, Sabtu ini.
Langkah yang akan diambil itu untuk memastikan rentak pasukan dan impian mempertahankan reputasi tidak terjejas sebaliknya misi mencapai kemenangan - sekali gus mengutip tiga mata untuk dibawa ke Seremban, tercapai.
Kapten Negeri Sembilan, Mohd Shukor Adan, berkata pemain skuad Hobin Jang Hobin tidak boleh memandang mudah cabaran Perak kerana kemenangan yang mereka capai ke atas Johor FC, menyerlahkan kekuatan skuad itu yang mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman dan memiliki rekod baik, Norizan Bakar.
Menurutnya, selain kelebihan yang mereka miliki di halaman sendiri dan sokongan padu penyokong yang mengharapkan kejayaan pasukan kesayangan mereka, rekod Negeri Sembilan di Stadium Perak pada musim lalu juga kurang memberangsangkan.
“Hakikatnya kami harus menggandakan lagi usaha dengan memberi persembahan lebih baik berbanding dalam dua perlawanan lalu, untuk memastikan sasaran kemenangan dan meraih tiga mata tercapai.
“Berpandukan dua perlawanan lalu, kami sedar masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi untuk memastikan persembahan yang lebih mantap serta mampu mengimbangi kekuatan pihak lawan.
“Apa yang saya harapkan kepada rakan tidak melakukan kesilapan mudah terutama pada penghujung babak kerana ia pasti akan memberi kesan sekali gus mungkin menyukarkan misi mencapai kemenangan,” katanya semalam.
No comments:
Post a Comment