Saturday, April 16, 2011

Beri komitmen penuh: Shahrul

KAPTEN Perak, Shahrul Nizam Mustapha menuntut komitmen penuh daripada rakan sepasukan bagi mencuri tiga mata berharga ketika menentang pendahulu Liga Super 2011, Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini. 

Biarpun menyedari skuad Kejor Yob Kejor bakal berdepan laluan sukar apabila berdepan skuad Red Giants yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan, Shahrul Nizam berharap pemain Seladang dapat bermain seperti biasa dan mematuhi percaturan strategi yang telah direncanakan oleh Ketua Jurulatih, Norizan Bakar. 

Menurutnya, pemain juga diharap tidak terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan besar mengatasi Kelantan 4-0, di Ipoh Selasa lalu kerana ianya boleh mengundang padah kelak. 

“Kami perlu fokus dan tidak terbawa-bawa dengan kejayaan menumpaskan Kelantan kerana nanti akan memakan diri. 

“Oleh itu, saya harap setiap pemain dapat memberi komitmen lebih daripada 100 peratus, selain bermain seperti biasa bagi menghasilkan keputusan terbaik malam ini,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas kehadiran semula penyerang, Razali Umar Kandasamy dalam kesebelasan utama Perak, Shahrul Nizam berkata, pihaknya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif. 

Katanya, Razali juga telah mengotakan semua janjinya untuk memberikan persembahan terbaik untuk pasukan dan membuktikannya apabila menjaringkan satu gol dalam perlawanan menentang Kelantan, Selasa lalu. 

“Semua pemain juga tidak memiliki masalah dengannya (Razali). Cuma Cikgu Jan (Norizan Bakar) kata, jika dia hadir menjalani latihan lebih daripada dua minggu, dia akan diberi peluang untuk bermain. Itu sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...