PENYERANG Perak, Mohd. Shafiq Jamal (tengah) dicabar pertahanan Selangor, P. Gunalan dan Khairul Anuar Baharum pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin. Selangor menang 1-0. |
KEMENANGAN ke atas Perak malam kelmarin membuktikan Selangor kini berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah menjadi pasukan pertama berjaya menjuarai Liga Super buat tiga musim berturut-turut.
Pada perlawanan ke-12 di Stadium Shah Alam itu, Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak menerusi jaringan tunggal kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pada minit ke-68.
Menurut pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan, kemenangan tersebut berjaya menangkis ramalan awal bahawa Perak mampu membenam Selangor setelah skuad Seladang itu membelasah Kelantan 4-0 di Ipoh, Selasa lalu.
“Saya puji semua pemain. Walaupun mempersia-siakan banyak peluang dan hanya mendapat satu gol, mereka telah menunjukkan prestasi sebenar selaku juara bertahan.
“Ramai anggap Perak pasukan pilihan untuk perlawanan ini tetapi kita telah membuktikan bahawa Selangor berjaya tampil beraksi lebih baik,” kata Devan ketika ditemui selepas perlawanan.
Menjelang aksi terakhir pusingan pertama bertemu Sabah di Stadium Shah Alam malam esok, Devan berkata, Selangor kini pada prestasi terbaik untuk memungut tiga mata penuh bagi melebarkan penguasaan selaku pendahulu.
“Saya percaya, kemenangan ke atas Perak ini akan menambah keyakinan para pemain dan kita akan pastikan mata maksimum apabila menanti kunjungan Sabah,” jelasnya.
Sementara itu, Safiq, 24, ternyata begitu gembira dapat menjaringkan gol keduanya musim ini setelah jaringan pertama terhasil ketika Selangor menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi pada 12 Mac lalu.
“Alhamdulillah, saya dapat temui semula sentuhan gol selepas buntu dalam empat perlawanan.
“Cuma kami perlu kekalkan momentum dan prestasi baik ini kerana jadual perlawanan yang ketat memerlukan fizikal dan mental sentiasa pada tahap terbaik,” kata Safiq.
No comments:
Post a Comment