JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee tidak gusar untuk bereksperimen dengan menurunkan pemain yang berlainan setiap kali melibatkan perlawanan Liga Super 2011.
Menurutnya, meskipun tumbang 1-2 kepada Kelantan dalam saingan liga kelmarin, Kim Swee percaya tahap prestasi individu untuk kelayakan Sukan Olimpik London tahun depan lebih diutamakan.
Katanya, setiap kekalahan yang dialami membolehkan pemainnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan.
“Saya tidak melihat kepada aspek keputusan perlawanan semata-mata tetapi prestasi individu lebih diutamakan apatah lagi pasukan ini bakal beraksi pada kelayakan Sukan Olimpik London 2012.
“Namun, kesilapan yang dilakukan pemain dalam satu-satu perlawanan juga perlulah diperbaiki kerana dari situ mereka dapat mempelajari sesuatu,” katanya.
Pada perlawanan itu, Kim Swee hanya memasukkan tiga penyerang utama, Wan Zack Haikal, Syahrul Azwari dan Izzaq Faris Ramlan pada babak kedua namun gagal untuk menyekat hajat tuan rumah daripada berpesta menyambut kemenangan di Stadium Sultan Muhammad IV.
No comments:
Post a Comment