KETUA jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu memuji persembahan anak buahnya selepas berjaya membenam Harimau Muda A dengan jaringan 2-1 pada aksi Liga Super 2011 di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
Menurutnya, jaringan K Solehin Abdullah dan S Chanturu cukup memastikan pasukan kendalian Ong Kim Swe itu pulang hampa.
Katanya, walaupun kelibat penyerang utama Norshahrul Idlan Talaha dirantai kemas pasukan pelawat, namun berjaya menamatkan permainan dengan jayanya.
“Saya puas melihat pemain bekerja keras untuk menunaikan misi memburu tiga mata malam semalam (kelmarin).
“Sekalipun Norshahrul di kawal ketat, masih ramai pemain Kelantan yang mampu mencetak jaringan gol,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Mengulas pertemuan menentang T’Team Selasa ini, Karathu tetap merendah diri dan menggesa pemainnya menghormati pihak lawan.
Katanya, skuad bimbingan Yunus Alif itu amat liat untuk dijinakkan selepas bertemu dalam saingan pusingan pertama Piala FA, 18 Februari lalu.
“Kita akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk membuat perseteruan dengan T’Team.
“Saya turut akui perlawanan itu pasti sengit kerana mereka sudah tentu ingin membalas dendam akibat tersingkir dalam saingan Piala FA musim ini,” katanya.
Kelantan kini selesa bertakhta di puncak liga dengan mengumpul 17 mata hasil lima kemenangan dan dua seri musim ini.
No comments:
Post a Comment