Sunday, April 3, 2011

‘Hadiah teristimewa’ buat Zaki


Perlawanan terakhir buat jurulatih Sarawak berakhir dengan kemenangan besar
KUCHING: Sarawak memberikan ‘hadiah istimewa’ buat bekas jurulatihnya, Mohd Zaki Shaikh Ahmad setelah mereka mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas PDRM pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Negeri Sembilan malam kelmarin (Jumaat).
Mohd Zaki ketika dihubungi Utusan Borneo di Seremban, Negeri Sembilan semalam melahirkan rasa gembira apabila anak-anak buahnya menghadiahkan kemenangan berharga buat dirinya sebelum beliau meninggalkan skuad Sarawak selepas ini.
Perlawanan menentang Polis malam Jumaat lalu merupakan sentuhan terakhir Mohd Zaki sebelum tugas membimbing pasukan Sarawak musim ini diambil alih oleh jurulatih import dari Belanda, Robert Alberts.
“Saya berasa sungguh gembira dan terharu sangat apabila pemain-pemain memberikan hadiah istimewa buat saya dengan mencipta kemenangan besar (4-0) malam tadi (Jumaat),” katanya.
Mohd Zaki berkata anak-anak buahnya telah menunjukkan mutu permainan menarik dan persembahan mantap setelah mereka berehat selama 20 hari.
Sarawak mendahului pasukan tuan rumah pada babak awal perlawanan dengan gol pertama dijaringkan oleh penyerang muda Asri Chuchu minit ke-41.
Semangat perjuangan Sarawak ternyata berkobar-kobar untuk menawan PDRM apabila babak kedua pasukan pelawat terus menggamuk dengan memperolehi gol kedua juga menerusi sentuhan Asri pada minit ke-54.
Sarawak menambah derita Polis apabila dua lagi jaringan menjelma pada minit ke-61 dan ke-75 masing-masingnya disumbatkan oleh Azizan Saperi dan Bobby Gonzales.
“Pasukan kita beraksi dengan penuh keyakinan sepanjang 30 minit perlawanan, walaupun pasukan lawan hanya bermain dengan 10 orang pemain setelah seorang daripada pemainnya dibuang padang pada minit ke-35.
“Secara keseluruhannya saya cukup berbangga dengan prestasi semua pemain dan saya berharap mereka mampu mengekalkannya pada perlawanan-perlawanan seterusnya,” kata Mohd Zaki yang kini diberi peranan mengendalikan program pembangunan bola sepak Sarawak.
Mohd Zaki percaya sentuhan jurulatih import berpengalaman yang juga rakan karibnya (Robert Alberts) mampu meletakkan pasukan Sarawak di landasan yang lebih gemilang.
“Saya akui Robert (Alberts) mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, justeru saya percaya Sarawak mampu mencapai tahap kegemilangan musim ini,” katanya.
Sarawak akan meneruskan perjuangan mereka dalam kempen Liga Perdana menentang pasukan kelab bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang di Stadium USM esok (Isnin).
Perlawanan itu menerupakan sentuhan pertama Robert Alberts yang juga pernah membimbing pasukan Sarawak pada musim 2009.
Sarawak akan beraksi di halaman sendiri (Stadium Negeri, Kuching) pada Jumaat depan (8 April) menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selepas itu, Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah tatkala menanti kunjungan pasukan Johor di Stadium Negeri, pada 11 April depan (Isnin).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...