SEKALIPUN reputasi selaku penyerang setakat ini belum begitu menyerlah, namun Negeri Sembilan tetap menyandarkan harapan tinggi kepada gandingan Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani mempamerkan kehebatan apabila turun menentang Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok.
Ketua jurulatih skuad itu, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata pihaknya berharap kedua-dua pemain berkenaan dapat memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan di barisan depan demi memastikan tiga mata di halaman sendiri tidak lagi tercicir.
Menurutnya, kemenangan ke atas Terengganu itu nanti perlu direalisasikan kerana ia amat penting dalam memastikan kedudukan pasukan yang kurang baik ketika ini, ditingkatkan sekali gus mengelak daripada ditinggal jauh oleh pencabar yang lain.
“Justeru, saya amat berharap semua pemain yang akan diberi tugas menggalas cabaran pasukan, Sabtu ini dapat memberi persembahan cemerlang dan tidak mensesia-siakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mencapai kemenangan sekali gus meraih tiga mata berharga.
“Saya juga berharap gandingan Hairuddin dan Ahmad Fakhri yang dilihat kian serasi dapat mempamerkan kehebatan masing-masing bagi menembusi benteng lawan, seterusnya membantu pasukan mencapai kemenangan seperti disasarkan,” katanya, semalam.
Selepas menamatkan tujuh perlawanan, Negeri Sembilan yang sebelum ini dibimbing Wan Jamak Wan Hassan, mencatat tiga kemenangan dan empat tewas untuk menduduki tangga ke sembilan carta liga.
No comments:
Post a Comment