AKSI Liga Perdana kembali selepas berehat dua minggu dengan menyaksikan Harimau Muda B menewaskan USM FC 2-0 pada perlawanan ketujuh mereka di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Harimau Muda kini melonjak ke tangga ketiga liga dengan 12 mata di belakang pendahulu, Selangor PKNS dan USM FC.
Beraksi di hadapan kira-kira 100 penyokong, skuad bawah 20 tahun kebangsaan itu yang menjadi tuan rumah memakai berjersi kuning nyata menguasai perlawanan dengan melakukan asakan demi asakan ke gawang USM FC namun buntu dalam pencarian gol pertama.
Namun pada minit ke-28, USM FC tinggal bermain 10 orang selepas Mohamed Shahril Sidek dilayangkan kad kuning kedua seterusnya dibuang padang akibat menjatuhkan kapten Harimau Muda B, D Saarvindran.
Harimau Muda B nyata menggunakan peluang tersebut apabila Muhammad Farizzuan Azhar meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-40.
Selepas rehat, tuan rumah terus mempamerkan aksi agresif dan memperoleh jaringan kedua menerusi Ibrahim Aziz pada minit ke-80 berpunca daripada kelemahan pemain benteng pertahanan USM FC untuk mengekang asakan bertubi-tubi tuan rumah.
No comments:
Post a Comment