Friday, April 1, 2011

Khidmat Sharbinee ditagih skuad Penyu

KECEMERLANGAN penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli ketika mewakili pasukan kebangsaan pada saingan persahabatan di Singapura sekali lagi ditagih skuad Penyu apabila berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, malam esok.


Pemain berasal dari Pulau Duyong, Kuala Terengganu, yang sebelum ini dibayangi dua lagi penjaga gol kebangsaan kini mendapat semula rentak dan menunjukkan kecemerlangan ketika menggagalkan beberapa percubaan bahaya kelab Etoile FC untuk membantu pasukan negara seri 1-1, Sabtu lalu.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kecemerlangan Mohd Sharbinee diharap membantu pasukan memenangi perlawanan menentang Negeri Sembilan.


“Kecekapannya sekali lagi ditagih dan saya harap kami dapat membawa pulang mata penuh walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya.

Selain itu, Irfan Bakti turut mengharapkan pemain yang bakal diturunkan meningkatkan tumpuan dan prestasi selepas berehat panjang sejak perlawanan terakhir Piala FA menentang Perak, 19 Mac lalu.


“Saya sentiasa mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan taktik pemain lawan yang mungkin mempamerkan corak berbeza selepas mendapat sentuhan jurulatih baru, Mohd Azraai Khor Abdullah selain beraksi di gelanggang lawan,” katanya.



Sementara itu, Sharbinee turut berazam mempamerkan persembahan terbaik pada pertemuan dengan Negeri Sembilan sambil mengharapkan rakan sepasukan memperagakan aksi bermutu dan bertenaga.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu turut mengaku berada pada tahap terbaik untuk menafikan hajat peledak skuad Hoben Jang Hoben daripada merobek pintu gol Terengganu.



“Selepas beraksi menentang Etoile FC, semangat saya untuk membantu Terengganu memburu kemenangan semakin membara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...