Tuesday, April 5, 2011

Liga Super: Perak belum mahu turunkan Razali

PERAK tidak berhasrat menggunakan khidmat penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy pada pertemuan Liga Super menentang pasukan Perlis di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Pengurus pasukan Perak, Khairul Azwan Harun berkata, khidmat Razali tidak diperlukan kerana penyerang itu hanya hadir menjalani latihan mulai 26 Mac lalu.
Sebelum ini, Razali telah ponteng latihan sejak 9 Mac lalu.
Katanya, Razali perlu mempamerkan kesungguhannya semasa latihan sebelum dipertimbangkan dalam senarai 18 pemain.
"Terpulanglah kepada jurulatih untuk menentukan kedudukan penyerang itu," jelas Khairul Azwan.
Katanya, Perak tidak bergantung ke atas seorang pemain sahaja, sebaliknya turun sebagai satu pasukan.
Beliau membayangkan, ketiadaan Razali dalam skuad Seladang tidak menjejaskan persiapan mereka.
Sebelum ini, Razali bukanlah pemain utama Seladang kerana dia hanya diturunkan sebagai pemain gantian di penghujung perlawanan.
Penyerang lincah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd. Shafiq Jamal merupakan gandingan utama jentera serangan Perak.
Perak yang masih mempertahankan rekod tanpa kalahnya sejak lapan perlawanan, kini berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 16 mata.
Skuad Seladang itu hanya kekurangan satu mata di belakang pendahulu liga, Kelantan dan Selangor.
"Walaupun Perlis berada di tangga terbawah, Perak tetap menghormati pasukan berkenaan yang mempunyai kekuatan tersendiri," kata Khairul Azwan.
Selain itu katanya, Perlis juga sedang mendapat sentuhan baru daripada Salim Tofel Mohamad.
Beliau berharap para pemain tidak memandang rendah kemampuan pasukan berkenaan.
Perlis yang tidak pernah mencatat sebarang kemenangan, berada di tangga terakhir liga dengan mengumpul tiga mata.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...