Friday, April 1, 2011

Pahang boleh guna Stadium Darulmakmur

BERITA gembira buat penyokong skuad Liga Super Pahang apabila Perbadanan Stadium Darulmakmur (PSD) mengesahkan Stadium Darulmakmur masih boleh digunakan sebagai gelanggang skuad itu sepanjang April dan Mei ini.
Pengesahan itu diumum Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak negeri Pahang (PBNP), Datuk Dr Omar Othman selepas kerja menaik taraf stadium sebagai persiapan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2012 hanya bermula 1 Jun.

Sehubungan itu, beliau berkata, teka-teki kemungkinan skuad Pahang terpaksa beraksi di gelanggang luar pada saingan Liga Super, termasuk aksi separuh akhir Piala FA sudah terjawab.




“Berdasarkan perkembangan terbaru, PSD mengesahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya memulakan kerja menaik taraf pada 1 Jun dan sebagai badan yang menguruskan stadium, PSD membenarkan perlawanan diadakan di stadium itu.

“Pada masa sama, sebagai menghargai sokongan peminat yang semakin meningkat, PSD membenarkan skuad Pahang beraksi Stadium Darulmakmur sehingga 31 Mei ini,” katanya pada sidang media di pejabat PBNP, Kuantan semalam.


Berdasarkan perancangan awal, stadium itu akan ditutup bermula hari ini bagi memulakan kerja menaik taraf dan makluman mengenai penutupan itu sudah diketahui Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) sejak Januari lalu.



Berikutan itu, PBNP perlu mencari stadium lain untuk memenuhi jadual perlawanan selaku tuan rumah.

Ini kerana kerja menaik taraf stadium itu memerlukan tempoh antara 12 hingga 18 bulan kerana Sukma dijangka berlangsung pada Jun tahun depan.



Berdasarkan keputusan itu juga, Dr Omar meminta penyokong Pahang terus memberi sokongan. Pahang akan mengharungi lapan lagi perlawanan termasuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Terengganu pada 12 Mei depan di Stadium Darulmakmur.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...