FERRIS DANIAL (kiri) tidak berada dalam senarai pasukan Harimau Muda A pada aksi menentang Kelantan malam ini kerana belum pulih daripada kecederaan. |
HARIMAU Muda A tetap akan mengganas di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini apabila menghadapi Kelantan dalam saingan Liga Super.
Mereka tiada rasa gentar meskipun akan turut berdepan dengan puluhan ribu penyokong fanatik Kelantan.
Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, barisan pemainnya akan tetap tampil dengan kesungguhan serta semangat yang tinggi meskipun akan beraksi di hadapan penyokong fanatik pasukan lawan.
"Saya rasa tidak menjadi masalah kerana ketika bertemu Perak di Ipoh pada 1 Mac lalu, kita juga berdepan dengan penyokong lawan tetapi pemain tetap dapat menampilkan aksi terbaik.
"Saya percaya, pemain akan beraksi lebih yakin di hadapan ramai penyokong pasukan lawan. Kami akan turun tanpa sebarang teka- nan dan mahu menunjukkan mutu permainan yang berkualiti," kata Kim Swee, 41, ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Namun, menurut pengendali itu, beberapa pemain utama seperti Muslim Ahmad, Faizal Muhamad, Gary Steven Robbat dan Ferris Danial Mat Nasir tidak akan disenarai untuk aksi di Kota Bharu kerana mereka masih belum pulih daripada kecederaan.
"Empat pemain ini tidak disenaraikan dalam skuad. Tetapi saya masih memiliki pemain lain untuk menggantikan tempat mereka. Jadual padat sepanjang April ini bakal dijadikan ujian buat saya untuk menilai prestasi para pemain.
"Pada setiap perlawanan, saya akan buat pertukaran pemain dan saya mahu mereka mengambil peluang ini untuk mempamerkan aksi terbaik supaya dapat diserapkan ke dalam skuad Olimpik kebangsaan," jelasnya.
Skuad Olimpik kebangsaan yang turut dibimbing Kim Swee akan menghadapi Lebanon pada aksi pusingan kedua di Beirut (19 Jun) dan di Kuala Lumpur, 23 Jun depan.
Mengenai gandingan penyerang yang akan diturunkan malam ini, Kim Swee mahu menilai dahulu prestasi terkini para pemainnya sebelum perlawanan bermula.
"Walaupun ketiadaan Ferris Danial, saya memiliki Syahrul Azwari Ibrahim, A. Thamil Arasu dan Izzaq Faris Ramlan.
"Mungkin Izzaq akan masuk pada babak kedua kerana dia baru pulih daripada kecederaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment