JARINGAN kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim memastikan Selangor kembali ke takhta Liga Super selepas menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pelawat terlebih dulu mengasak ke kubu Selangor dan seawal minit kedua sudah menguji gawang tuan rumah, namun sepakan lambung Isma Alif Mohd Salim hanya sedikit melewati palang gol, sambil beberapa percubaan mereka selepas itu juga gagal menepati sasaran.
Tempoh 20 minit awal menyaksikan Perak yang diterajui bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang bergandingan dengan Mohd Shafiq Jamal lebih banyak mendominasi serangan dan selepas itu barulah Selangor mula bangkit menghasilkan beberapa percubaan menerusi gandingan penyerang, Amri Yahyah dan Fadzli Saari.
Selepas rehat, jurulatih Selangor, K Devan memasukkan Hardi Jaafar menggantikan Mohd Asraruddin Putra Omar pada babak kedua dan kemasukan pemain tengah itu memberi impak serta merta apabila Selangor semakin rancak menyerang dan Hardi sendiri nyaris membuka jaringan apabila sepakan percuma pada minit ke-65 terkena palang.
Begitupun, tiga minit kemudian Selangor akhirnya ceria apabila Safiq menghasilkan gol tunggal perlawanan menerusi satu rembatan kaki kiri yang langsung gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Mohd Nasril Nourdin.
No comments:
Post a Comment