AMRI Yahyah (kanan) galas tugas berat mengetuai rakan untuk menjulang Selangor musim ini. |
SELANGOR berdepan Perak, malam ini dalam perlawanan yang penting bagi kedua-dua pasukan. Kemenangan dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam nanti pasti akan memberi gambaran awal barisan mana sudah ada ramuan bergelar juara, musim ini.
Apapun, pencapaian terpuji ketika ini belum boleh dianggap jaminan skuad Merah Kuning pimpinan K Devan sudah kembali ke tahap terbaik merangkul kejuaraan liga buat kali ketiga berturut-turut.
Peringatan itu disuarakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mencabar skuad pasukan merebut peluang mencatat sejarah menjadi pasukan pertama mencatat hatrik kejuaraan Liga Super sejak diperkenalkan pada 2004.
“Saingan Liga Super belum pun lagi mencapai separuh saingan. Saya minta mereka gandakan usaha dan mengekalkan prestasi sehingga tamat musim,” katanya.
Selain Selangor yang menjuarai Liga Super dua kali iaitu pada 2009 dan tahun lalu, hanya Kedah satu-satunya pasukan lain yang pernah menjuarainya dua kali iaitu pada 2007 dan 2008.
Skuad Merah Kuning itu hanya dibezakan satu mata dengan Perak yang menghuni tangga kedua, sambil Kelantan mengekori rapat di tangga ketiga dengan 20 mata.
Hamidin berkata, jadual perlawanan Liga Super yang padat ketika ini memerlukan kebijaksanaan Devan mengatur senarai pemain kerana selain aksi Liga Super, Selangor juga terbabit dalam separuh akhir Piala FA.
No comments:
Post a Comment