KELANTAN dipalit kecewa besar apabila trio mereka - Norshahrul Idlan Talaha, Shakir Shaari dan Mohd Daudsu Jamaludin tidak dapat beraksi menentang Sabah di Kota Bharu, malam ini, akibat menerima kad kuning selain cedera.
Sebagai ganti, ketua jurulatih, Datuk M Karathu akan menamakan pemain muda, Mohd Nizad Ayub untuk mengisi tempat Norshahrul, manakala Md Badri Radzi yang direhatkan dua perlawanan sebelum ini, kembali menerajui posisi tengah ditinggalkan Shakir dan S Subramaniam mengisi kekosongan Daudsu.
“Kita tidak ada pilihan kerana tiga tonggak utama ini sudah menerima tiga kad kuning selain mengalami kecederaan. Jadi saya terpaksa memberi peluang kepada beberapa pemain muda mengisi kekosongan itu apabila menentang Sabah.
“Saya juga terpaksa kembali menggunakan khidmat Md Badri yang direhatkan ketika menentang Felda United dan Perak bagi menerajui posisi tengah memastikan mata penuh dapat diragut dari Sabah, malam esok (malam ini),” katanya, semalam.
Karathu berkata, pemain muda diturunkan harus memanfaatkan peluang diberi dengan mempamerkan aksi terbaik serta membuktikan kemampuan mereka menggalas cabaran, sekali gus merobek gawang lawan.
“Namun begitu, pemain The Red Warriors harus ingat, kita tidak dapat menduga kekuatan Sabah yang sebelum ini menewaskan Perak (2-1) selain seri 2-2 ketika menentang Perlis,” katanya.
NORSHAHRUL (tengah) akan digantikan pemain muda, Mohd Nizad dalam saingan Liga Super menentang Sabah di Kota Bharu, malam ini. |
No comments:
Post a Comment