KOTA BHARU - Maruah ribuan penyokong tegar skuad Red Warriors dipikul di bahu kesebelasan utamanya yang akan beraksi menentang Perlis dalam saingan Liga Super di Kangar, hari ini.
Menentang Singa Utara, Red Warriors tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan jika berhasrat memberikan tekanan kepada tiga pasukan di kelompok teratas liga iaitu Selangor, Terengganu dan Perak.
Meskipun turun tanpa penyerang lincah S. Chanturu yang cedera, kembalinya tiga tonggak iaitu penggempur kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha, perancang tengah Mohd. Shahkir Shaari serta pertahanan kental, Daudsu Jamaluddin, mengembalikan keyakinan Red Warriors untuk memburu kemenangan.
Berdepan pasukan tangga tercorot liga serta berdasarkan aksi semasa, Red Warriors dijangka berdepan laluan sukar untuk menjinakkan skuad bimbingan Salim Tofel Mohammad itu.
Jika perkiraan di atas kertas menjadi ukuran, ia tampak berpihak kepada Kelantan yang dilihat memiliki pemain berpengalaman dalam kancah saingan liga tempatan.
Namun kemampuan barisan muda Singa Utara menjinakkan pasukan "himpunan bintang" Negeri Sembilan Sabtu lalu di gelanggang sendiri harus ambil kira oleh pengendali Red Warriors, Datuk M. Karathu.
Kebangkitan luar biasa yang disajikan pada perlawanan itu memungkinkan satu lagi kejutan bakal berlaku andai kata tumpuan sepenuhnya tidak diberikan dalam perlawanan tersebut.
Seandainya berjaya menumbangkan Red Warriors pada perlawanan malam ini, ia merupakan tonik buat skuad bimbingan Salim Tofel untuk melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.
Bagi Norshahrul, perlawanan malam ini penting buat pasukannya untuk merapatkan kedudukan dengan tiga pasukan teratas liga.
Dia bersedia untuk kembali menggalas tugas sebagai penggempur utama selepas direhatkan dalam perlawanan lalu akibat menerima tiga kad kuning.
"Ketika menentang Sabah tempoh hari saya tidak beraksi, jadi untuk perlawanan malam esok (malam ini) saya sudah bersedia dan akan memberikan aksi yang terbaik untuk memastikan tiga mata.
"Saya akan cuba mendapatkan gol awal untuk Kelantan. Ini penting buat kita sebagai pembakar semangat pasukan," katanya ketika di temui selepas pada sesi latihan di sini semalam.
No comments:
Post a Comment