Tuesday, April 19, 2011

Azraai kian malang, hilang tiga pemain tonggak

KUALA LUMPUR - Misi pengendali baru Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah untuk menamatkan kemarau kemenangan selepas lima perlawanan Liga Super semakin menemui jalan buntu, apabila tiga pemain utamanya demam dan selesema menjelang pertemuan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, hari ini.

Bagaikan ditimpa musibah besar, bekas jurulatih Harimau Muda itu mengakui dia pening sebaik sahaja mendapat tahu Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak, Abdul Halim Zainal dan Qhairul Anwar Roslani mendapat jangkitan berkenaan sebaik tiba di Kuantan, semalam.

Tambah mengusutkan fikiran Azraai, dia kehilangan dua lagi tonggak penting, S. Kunanlan yang cedera pangkal paha dan penyerang muda, Firdaus Azizul akibat masalah buku lali.

"Memang saya dilanda masalah besar ketika ini, setelah masalah kecederaan bertimpa-timpa, dapat pula khabar kurang baik iaitu tiga pemain saya iaitu Aidil, Qhairul dan Halim dijangkiti demam serta selesema.

"Mereka bertiga telah diberikan rawatan sebaik sahaja tiba di Kuantan, tetapi saya masih belum pasti sama ada mereka sempat pulih atau tidak bagi menghadapi Pahang, tetapi saya rasa amat sukar buat mereka cergas seratus peratus, " katanya.

Seandainya khidmat Aidil tidak dapat digunakan, Azraai mempunyai perancangan dengan meletakkan pemain tengah, G. Mahathevan di bahagian pertahanan dengan Muhammad Shukor Adan.

"Ketiadaan Aidil memaksa saya mengharapkan Mahethevan bermain di bahagian pertahanan kerana saya tiada pilihan, di samping membawa masuk Tengku Qayyum menjadi pengganti kepada Halim, " katanya, yang masih tidak dapat menggunakan Norhafiz Zamani Misbah kerana belum pulih daripada kecederaan ligamen lutut (ACL).

Menurutnya, kegagalan Negeri Sembilan mempamerkan prestasi cemerlang bukan disebabkan ada masalah dalaman sesama pemain, tetapi kerana masalah kecederaan.

"Pemain tidak mempunyai sebarang masalah malah mereka telah memberikan komitmen seratus peratus dalam setiap perlawanan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...