KUCHING: Aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Paroi, Negeri Sembilan malam ini merupakan ‘sentuhan’ terakhir Mohd Zaki Shaikh Ahmad bersamasama skuad Sarawak.
Ini kerana berkuat kuasa 4 April ini (Isnin), tugas sebagai pengurus merangkap ketua jurulatih pasukan Sarawak akan diambil alih oleh bekas jurulatih import Sarawak, Robert Alberts.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman dalam satu kenyataan akhbarnya di sini semalam memberitahu, pihaknya telah melakukan rombakan kecil dalam pengurusan skuad senior Sarawak.
“Robert (Alberts) akan mengendalikan perlawananpertamanya bersama pasukan Sarawak tatkala menentang USM FC di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang pada 4 April nanti,” katanya.
Sudarsono berkata, Alberts telah bersetuju untuk mengikat kontrak bersamasama pasukan Liga Perdana Sarawak sehingga November tahun depan.
Justeru, katanya, dengan perubahan itu Mohd Zaki masih lagi bersama FAS dan beliau akan diberi peranan untuk mengendalikan program pembangunan bola sepak negeri bagi melahirkan pemainpemain muda berkaliber.
“Bersesuaian dengan pengalaman luas Mohd (Zaki), kita percaya beliau dapat menyumbangkan sepenuhnya pengetahuan demi membangunkan bola sepak negeri ini peringkat akar umbi secara lebih komprehensif,” katanya.
Mohd Zaki merupakan jurulatih berpengalaman luas dan pernah membimbing pasukan Harimau Muda dan juga pasukan Olimpik Malaysia.
“Bagaimanapun, bagi memastikan proses peralihan itu berjalan lancar, Mohd Zaki masih lagi mengemudikan Sarawak dalam pertemuan dengan Polis di Seremban, malam esok (malam ini),” katanya.
Sudarsono menarik perhatian pihak persatuan berharap dengan perubahan itu maka tumpuan khusus terhadap kemantapan skuad Sarawak menghadapi Liga Perdana musim ini dapat dipertingkatkan.
“Pihak persatuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Mohd Zaki atas khidmat yang telah disumbangkan beliau selama tempoh mengendalikan pasukan Sarawak.
“Kita percaya beliau akan terus memberi komitmen tinggi kepada peranannya sebagai pengendali program pembangunan bola sepak negeri yang telah diamanahkan,” katanya.
Justeru, para peminat setia pasukan Sarawak diharapkan akan sentiasa memberikan sokongan padu secara berterusan sebagaimana yang telah diberikan selama ini.
“Kita amat berbangga di atas sokongan para peminat dan pihak kami sentiasa komited dan berusaha ke arah memartabatkan semula pasukan bola sepak Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zaki ketika dihubungi di Seremban semalam yakin anak-anak buahnya mampu beraksi cemerlang malam ini sebagai ‘hadiah istimewa’ buat beliau.
“Saya yakin pemain-pemain dapat menunjukkan aksi hebat mereka untuk memburu kemenangan mutlak malam esok (malam ini),” katanya.
Setakat ini Sarawak telah mencatat tiga kemenangan, sekali seri dan dua kali kalah dengan mengumpul 10 mata daripada enam perlawanan. Mereka menduduki tangga keempat.
No comments:
Post a Comment