Monday, April 4, 2011

Azraai tetap puas hati kutip satu mata

SEKALIPUN sekadar meraih satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah tetap puas hati dan menyifatkan sebagai permulaan yang baik selepas mula mengendalikan skuad itu, 22 Mac lalu.


Baginya, keputusan itu boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada setiap pemain meneruskan aksi cemerlang dan kembali meletakkan pasukan pada landasan kemenangan.

“Saya puas hati dengan persembahan dipamer pemain walaupun gagal meraih tiga mata disasarkan. Satu mata yang kita peroleh boleh disifatkan permulaan baik selepas tempoh singkat memulakan latihan.




“Namun saya sedikit terkilan dengan kesilapan dilakukan Abd Halim Zainal pada tempoh terakhir perlawanan apabila gagal memanfaatkan peluang jaringan sekalipun hanya berdepan penjaga gol lawan.

“Apapun, kita perlu bekerja lebih keras dan saya perlu melakukan lebih banyak 'kerja rumah' bagi memantapkan pasukan kerana banyak serangan yang dilakukan berjaya dipatahkan pertahanan Terengganu. Kesukaran menembusi benteng lawan itu perlu diperbaiki menjelang perlawanan akan datang,” katanya.


Negeri Sembilan berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang Ahmad Fakri Saarani pada minit kedua manakala Terengganu berjaya memadam defisit itu menerusi Abdul Manaf Mamat di minit ke-57.





Bekas jurulatih Kedah dan kebangsaan itu bagaimanapun memuji komitmen dan semangat juang anak buahnya yang menunjukkan peningkatan ketara dan berharap mereka dapat meneruskan persembahan sebegitu pada perlawanan menentang Kuala Lumpur di gelanggang sama, malam esok.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...