“JIKA difikirkan soal kepincangan di barisan serangan, saya memang pening tetapi keputusan terbaik perlu dilakukan untuk memastikan Terengganu tidak membawa sebarang mata, esok,” kata jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
Menurut Dollah, skuadnya perlu lebih fokus terhadap permainan bagi melayan kunjungan Terengganu di Stadium Darulmakmur malam ini, sekali gus mengutip mata berharga.
“Oleh itu, saya terpaksa menurunkan barisan pemain yang ada biarpun jentera serangan kami semakin tumpul kerana ketiadaan dua penyerang yang belum pulih kecederaan,” katanya semalam Dua penyerang terbabit ialah R Surendran dan Mohd Faizol Hussin yang memberi tamparan buat Dollah dalam menyusun kesebelasan terbaik menghadapi negeri jiran, Terengganu.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ketiadaan dua penyerang itu begitu dirasai terutama ketika pasukan menghadapi masalah ketumpulan di barisan serangan.
“Aksi penyudah tumpul, ditambah kecederaan menimpa dua pemain itu membataskan lagi usaha mencipta kemenangan” katanya.
“Saya pening memikirkan masalah ini, tapi keputusan terbaik perlu dilakukan untuk pastikan lawan tak dapat mata,” katanya.
Mengulas mengenai gol tunggal yang dijaringkan R Kartigesu ketika tewas 1-2 kepada Selangor, Sabtu lalu, beliau berkata, prestasi pemain itu tidak mencapai prestasi diharapkan.
Katanya, biarpun pemain itu menjaringkan gol, beliau mengakui jentera serangan memerlukan penyerang yang kreatif jika mahu membolosi gawang lawan.
“Saya harap tempoh dua hari ini pemain yang diberi tanggungjawab di barisan depan dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin,” katanya.
No comments:
Post a Comment