TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih belum menyerahkan geran tahunan mengundang rasa tidak puas hati pihak pengurusan pasukan bertanding dalam Liga Malaysia tahun ini.
Walaupun saingan Liga Super dan Liga Perdana hampir menjengah pertengahan musim, geran tahunan yang dijanjikan untuk diagih-agihkan kepada pasukan bertanding seperti dilakukan FAM sebelum ini masih belum kelihatan.
“Setakat ini kami belum dapat geran tahunan daripada FAM lagi, bila boleh dapat, itu belum dimaklumkan secara rasmi. Tak pernah berlaku dalam sejarah pusingan pertama liga sudah nak habis, tapi satu sen duit pun belum dapat.
“Kami tahu FAM perlu menyelesaikan beberapa perkara sebab mendapat penaja baru, tapi sekurang-kurangnya sekarang ini, semua pasukan sepatutnya sudah boleh dapat separuh daripada geran tahunan yang dijanjikan itu.
“Saya malas nak merungut sebab nanti bila cakap kena tindakan pula, itu sebab pasukan lain pun tidak berani bersuara mengenai perkara ini,” kata seorang pegawai pasukan bola sepak negeri yang enggan namanya didedahkan.
Sebelum ini, FAM mengagih-agihkan geran tahunan berjumlah antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana.
Separuh daripada jumlah geran itu diberikan sebelum musim bermula manakala selebihnya pada pertengahan musim untuk membantu perbelanjaan menguruskan pasukan serta program pembangunan bola sepak masing-masing.
Situasi ini pastinya menjadi tanda tanya sedangkan FAM pada Januari lalu sudah menimbang untuk menaikkan geran tahunan selepas mendapat penajaan lumayan daripada Astro media dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM220 juta bagi tempoh empat tahun.
Jumlah itu merangkumi hak penyiaran bernilai RM30 juta setiap tahun mulai 2011 dan tambahan RM100 juta bagi kegiatan promosi stesen satelit berbayar itu.
“Sekarang ini ada yang terpaksa menggunakan duit poket sendiri untuk menampung perbelanjaan menguruskan pasukan masing-masing. Macam kami pula, nak harapkan pendapatan daripada kutipan tiket susah sebab banyak perlawanan pusingan pertama berlangsung di gelanggang lawan.
“Mula-mula dengar boleh dapat setengah juta geran tahunan tahun ini, tapi cuma cakap-cakap saja. Tapi dengan apa yang berlaku sekarang, seperti indah khabar dari rupa sajalah,” kata salah seorang pegawai pasukan dari Pantai Timur itu.
Sementara itu, Bendahari Persatuan Bola Sepak Johor, Abdul Latif Bandi berharap agar FAM dapat menyegerakan pemberian geran tahunan itu bagi membolehkan mereka melaksanakan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
“Kami memang belum dapat geran itu, malah duit cagaran RM150,000 daripada geran tahunan tahun lalu juga belum diserahkan. Memang susahlah sebab macam pasukan Johor, tumpuan kami juga terhadap pembangunan bola sepak negeri dan daerah. “Kami bukanlah seperti pasukan negeri lain yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh, tapi kami juga bertanggung jawab dalam melahirkan pemain untuk skuad kebangsaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment