MASIH terlalu awal untuk menekan butang panik, terutama selepas Harimau Muda A ditewaskan 2-1 Kelantan Jumaat lalu, yang mencetus tanggapan sebahagian besar pemain skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee belum bersedia untuk berdepan Lubnan, 19 Jun nanti.
“Pemain saya baru kembali daripada rehat panjang, dan saya percaya mereka memerlukan masa untuk mendapatkan kembali rentak permainan dalam kancah Liga Super ini,” kata Kim Swee. “Masih ada banyak perlawanan bulan ini untuk mereka kembali meningkatkan corak permainan.
“Kekalahan tipis kepada Kelantan memang mengecewakan tetapi bagi saya, ia akan mencetus semangat luar biasa kepada pemain selepas ini, terutama kepada beberapa pemain yang baru mendapat kepercayaan mengisi kesebelasan utama pasukan.”
Pada perlawanan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV Jumaat lalu, Kim Swee menurunkan Mohd Amer Saidin sebagai bek tengah yang menyaksikan pemain itu menjadi punca Kelantan mendapat gol kemenangan.
Namun Kim Swee berpendapat, kesilapan itu satu pengajaran terbaik buat pemain berusia 19 tahun terbabit. “Dia masih muda, dan apabila berdepan pasukan handal seperti Kelantan yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan, saya rasa mungkin dia sedikit gugup,” katanya.
“Amer mempunyai potensi tinggi, cuma dia perlu diberikan peluang lebih banyak bermain untuk membina keyakinan ketika di atas padang.”
Harimau Muda A akan turun menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam esok, dan Kim Swee bakal melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya sebagai persiapan untuk kelayakan Olimpik nanti.
Malaysia diundi bertemu Lubnan pada pusingan kedua kelayakan Olimpik, 19 dan 23 Jun, dan Kim Swee merancang untuk berkampung di Turki bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan corak permainan lawan dari Timur Tengah itu.
Kim Swee juga masih menunggu jawapan daripada dua pasukan Olimpik - Bahrain dan Arab Saudi - yang dikatakan mahu berlatih di Kuala Lumpur Jun ini - untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum bertolak ke Turki, 8 atau 9 Jun depan.
PEMAIN Kelantan, Solihin Kanasian (kiri) dihalang pemain Harimau Muda A, Mohd Fandi Othman dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Jumaat lalu. |
No comments:
Post a Comment